Bengkel Konsultatif Pelan Sains, Teknologi, dan Inovasi bagi DRR (STI4DRR) telah diadakan dengan jaya pada 24 Julai 2017, di Kelab Golf Danau, UKM Bangi. Bengkel ini dirasmikan oleh Ketua Pengarah, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA Malaysia), YBhg. Dato’ Abd. Rashid Harun. Ucaptama pembuka tirai kepada konteks Science, Technology and Innovation for Disaster Risk Reduction atau ringkasnya STI4DRR telah disempurnakan oleh Penasihat Sains kepada YAB Perdana Menteri Malaysia, YBhg. Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Zakri Abdul Hamid.
Bengkel ini diadakan adalah hasil rentetan kepada penyertaan delegasi Malaysia ke Persidangan UN World Conference for Disaster Risk Reduction, yang telah diadakan di Sendai, Jepun, pada 14-18 Mac 2015 yang lalu, serta Persidangan Sains dan Teknologi pada Januari 2016, bertempat di Geneva, Switzerland. Draf Halatuju Sains dan Teknologi bagi perlaksanaan Rangka Kerja Sendai telah dipersetujui dan mengandungi 12 cadangan tindakan telah dibentangkan di persidangan 1st Asian Science and Technology Conference for Disaster Risk Reduction (ASTCDRR) pada 23-24 Ogos 2016, bertempat di Bangkok, Thailand, anjuran UNISDR dan disokong oleh Integrated Research on Disaster Risk (IRDR) China dan beberapa rakan penganjur yang lain. IRDR bersama ICSU, ICSU-ROAP dan juga Akademi Sains China & ICoE Taipei telah berjaya menganjurkan 1st Workshop to Strengthen Scientific Advisory Capacities for Disaster Risk Reduction, pada 25-26 Ogos 2016, bertempat di Bangkok Thailand, dan dihoskan oleh National Research Council of Thailand (NRCT). Bengkel kedua seumpanya juga telah diadakan dengan jayanya pada Januari 2017, bertempat di Academia Sinica Taipei, bagi membincangkan dengan lanjut Pelan Sains dan Teknologi bagi DRR di setiap negara, dengan memberi fokus kepada sasaran khusus bagi perlaksanaan Rangka Kerja Sendai.
Tujuan utama Bengkel ini diadakan adalah untuk membincangkan pelan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) bagi menyokong perlaksanaan Rangka Kerja Sendai bagi Pengurangan Risiko Bencana 2015-2030 (SFDRR) di Malaysia. Bengkel ini juga akan membincangkan strategi penerapan sains dalam pembuat dasar di Malaysia dan mempromosikan hubungan sains saintifik untuk pembuat dasar berasaskan bukti dalam DRR (science-policy interface for evidence-based policy-making in DRR). Sebanyak 7 kertas dasar bertemakan Finance and Insurance for Disaster Risk Reduction, STI for Earthquake Hazards, STI for Landslide Hazards, STI for Climate Extremes, STI for Health and Other Emerging Hazards, STI for Critical Infrastructure and Disaster Risk Reduction, dan STI for Flood Hazard telah dibentangkan oleh ahli panel yang terdiri daripada Ahli Panel Pakar Saintifik dan pakar agensi peneraju, diikuti oleh perbincangan kumpulan mengikut tema-tema tersebut oleh wakil-wakil pihak berkepentingan mengenai isu dan pelan tindakan dalam menangani risiko bencana.
Fail-fail pembentangan boleh dimuat-turun dari http://www.ukm.my/seadpri/?p=1365